Isnin, 1 Oktober 2012


1.KONSEP RANCANGAN PELAJARAN HARIAN

1.1 PENGENALAN

Seseorang guru tidak boleh mengajar tanpa membuat persediaan pengajaran terlebih dahulu. Seorang guru yang tidak bersedia untuk mengajar ibarat seorang nakhoda yang mengemudi kapalnya tanpa arah dan tujuan tertentu.  Begitulah  juga dengan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang tentunya bercelaru apabila guru mengajar tanpa membuat persediaan terlebih dahulu. Oleh itu, guru  perlu membuat  persediaan mengajar yang tersusun dan sistematik dengan hasil pembelajarannya yang jelas dan boleh dicapai. Persediaan mengajar adalah kesinambungan daripada rancangan semester yang disediakan terlebih dahulu oleh guru bagi mata pelajaran yang diajarnya.Saya akan membincangkan tentang Rancangan Pengajaran Harian, komponen-komponen  Rancangan Pengajaran Harian, contoh Rancangan Pengajaran Bahasa Melayu.


OBJEKTIF

Pada akhir tajuk  ini, diharap dapat:

      I.        Menjelaskan kepentingan Rancangan Pengajaran Harian bagi seorang guru.
    II.        Menghuraikan komponen-komponen dalam sebuah Rancangan Pengajaran Harian.
   III.        Mengetahui format Rancangan Pengajaran Harian mata pelajaran Bahasa Melayu.
  IV.        Menghuraikan bidang-bidang kemahiran yang penting.

1.2 CARTA ALIRAN PERANCANGAN

MERANCANG PENGAJARAN BAHASA





Rancangan               Komponen Rancangan                        Pengajaran Mikro
Pengajaran               Pengajaran Harian
Harian



Kepentingan RPH      -  Persediaan                   Contoh RPH          - Faedah
                                   -  Penyampaian               Bahasa Melayu     -  Pelaksanaan
                                   -  Penutup                                                     -  Set Induksi




1.3 Rancangan Pengajaran Harian

Rancangan Pengajaran Harian (RPH) adalah satu perancangan mengajar yang disediakan oleh guru  untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran dalam tempoh  jangka waktu  tertentu pengajaran.  Rancangan Pengajaran  juga dikenali sebagai  persediaan mengajar. Guru akan melaksanakan pengajarannya berdasarkan persediaan mengajar yang telah dirancang  dengan teliti untuk mencapai objektif pengajarannya.

Kamarudin Hj.Husin (1989) menjelaskan maksud persediaan mengajar sebagai suatu perencanaan atau perancangan yang terdiri daripada langkah-langkah pengajaran yang bakal dilaksanakan  oleh guru dalam bilik darjah.  RPH ini mengandungi unsur-unsur seperti butiran am, tajuk pelajaran, objektif, induksi set, perkembangan, penilaian, penutup, dan sebagainya.  Persediaan mengajar kebiasaannya bukan sahaja menyenaraikan unsur-unsur tersebut tetapi bertindak sebagai peraturan-peraturan yang tidak boleh tidak dipatuhi dan diikuti oleh guru-guru.


1.4  Kepentingan Rancangan Pengajaran Harian

Kenapakah persediaan mengajar begitu penting kepada guru?  Kepentingan persediaan mengajar kepada guru adalah seperti berikut:

1.    Untuk mencatatkan semua perancangan mengajar dari awal hinggalah akhir pengajaran yang melibatkan aktiviti pengajaran dan penggunaan bahan bantu mengajar.

2.    Guru akan lebih yakin untuk mengajar dan  berhadapan dengan pelajarnya di dalam kelas.

3.    Membantu guru membuat jangkaan tentang masalah, kekuatan , dan kelemahan pengajarannya dan membuat persediaan untuk mengatasi sekiranya terdapat masalah yang timbul.

4.    Menentukan objektif pengajaran dan merancang aktiviti yang dapat mencapai objektif pengajaran tersebut.

5.    Guru dapat merancang dan menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan akiviti pengajaran.

6.    Bertindak sebagai senarai semak untuk mengetahui sama ada terdapat perkara penting yang tertinggal ataupun tidak.

7.    Memastikan semua perkara yang hendak diajar terdapat dalam persediaan mengajar harian tersebut.

8.    Bertindak sebagai rekod pengajaran guru untuk mengetahui sama ada sesuatu tajuk telah diajar ataupun belum.

1.5   Komponen Rancangan Pengajaran Harian

Rancangan Pengajaran Harian ditulis mengikut format tertentu  yang telah  dipersetujui dan dipakai oleh sesebuah sekolah, peringkat daerah ataupun di peringkat negeri.  Selain itu format rancangan mengajar  juga mungkin  berbeza mengikut mata pelajaran.  Format Rancangan Pengajaran Harian  Bahasa Melayu adalah berbeza dengan format Rancangan Pengajaran Harian   mata pelajaran Sains walaupun perbezaan itu tidaklah begitu ketara. Namun begitu, Rancangan Pengajaran Harian  tetap mempunyai persamaan iaitu  mengandungi tiga komponen penting  iaitu persediaan, penyampaian, dan penutup.

Bahagian ini akan membincangkan tentang ketiga-tiga komponen persediaan mengajar dengan lebih perinci.  Sebelum itu, saya akan ditunjukkan contoh Rancangan Pengajaran Harian yang disediakan.














RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN


Kelas:  ............................................................................................................

Mata Pelajaran : .............................................................................................    

Tarikh: ............................................................................................................

Masa: .............................................................................................................

Bilangan Murid:...............................................................................................

Tajuk:  ............................................................................................................

Kemahiran:  ...................................................................................................

Penggabungjalinan isi kandungan: ...............................................................

Hasil Pembelajaran:  .....................................................................................

Pengetahuan Sedia Ada: ..............................................................................

Perentasan Kurikulum: ..................................................................................

Penerapan Nilai : ...........................................................................................

Unsur Terapi: .................................................................................................

Bahan Bantu Mengajar :  ...............................................................................

Langkah Penyampaian :

Langkah
Isi Kandungan
Aktiviti  Pengajaran
dan Pembelajaran
Catatan

Set Induksi
(.....min)




1
(....min)



2
(....min)



3
(....min)



Penutup
(....min)



Refleksi Guru:
..........................................................................................................................
..........................................................................................................................




Ulasan Penyelia:
..........................................................................................................................
..........................................................................................................................

  Format Rancangan Pengajaran  Harian





2. Berikut adalah perbincangan tentang komponen-komponen yang terdapat dalam sebuah Rancangan Mengajar Harian (RPH).


(a)  Komponen Persediaan


Komponen persediaan dalam RPH terdiri daripada  maklumat am, pengetahuan
sedia ada,  kemahiran, penggabungjalinan isi  kandungan, hasil pembelajaran, perentasan kurikulum, dan bahan bantu belajar.














2.1 Maklumat Am

Maklumat am adalah butir-butir tentang tarikh, masa, kelas/tingkatan, bilangan pelajar, mata pelajaran, dan tajuk pelajaran/pengajaran.  Maklumat ini adalah penting supaya guru dapat merancang strategi pengajaran untuk pelajarnya.

2.2 Kemahiran

Kemahiran adalah kebolehan tertentu yang diharap dapat dikuasai oleh pelajar melalui pengajaran guru. Dalam pelajaran Bahasa Melayu, kemahiran asas yang perlu dikuasai adalah seperti kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran yang hendak diajar pada waktu tertentu dinyatakan dengan jelas.  


2.3 Penggabungjalinan isi kandungan

Kandungan pengajaran terdiri daripada beberapa isi pelajaran yang digabungjalinkan dan dinyatakan dengan jelas seperti;
     
2.3.1     Menyusun maklumat daripada nota atau catatan hasil daripada  
bahan  yang didengar atau dibaca secara kohensif.
                           Aras 1 (i) Menulis maklumat mengikut prosedur yang betul
2.3.2     Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi  yang betul dan memahami perkara yang dibaca.
           Aras 3 (i) Membaca petikan dengan sebutan dan intonasi yang    
           betul dan menarik.



        2.4      Hasil Pembelajaran

                 Hasil pembelajaran digunakan bagi menggantikan  ”objektif” dalam
     penulisan RPH.  Penulisan hasil pembelajaran hendaklah dalam
     bentuk tingkah laku, boleh diukur, dan khusus. Contoh:

     Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat:

1.    membina sekurang-kurangnya  lima perkataan berdasarkan
gambar yang ditunjukkan kepada mereka.

”Membina” -  dinyatakan dalam bentuk tingkah laku
”lima perkataan” -  boleh diukur
”berdasarkan gambar” -  khusus

Penulisan hasil pembelajaran yang jelas dan spesifik dapat membantu  guru bergerak di atas landasan yang betul sewaktu menyampaikan pengajaran mereka. 


   2.5        Pengetahuan sedia ada

Pengetahuan sedia ada adalah pengetahuan yang telah dipelajari oleh pelajar berkaitan dengan tajuk yang telah diajar, atau pengetahuan yang dimilikinya berdasarkan pengalaman dan  pemerhatian.  Berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar, guru dapat:

2.5.1     menentukan peringkat pembelajaran pelajarnya;

2.5.2     dapat mengelak guru daripada mengulang mengajar sesuatu yang telah dipelajari atau  dikuasai pelajar;

2.5.3     membantu guru merancang persediaan mengajar;

2.5.4     membantu guru merancang penyediaan bahan bantu mengajar;

2.5.5     menjangkakan hasil pembelajaran yang diharap dari pengajarannya.


2.6       Perentasan kurikulum

Perentasan kurikulum bermaksud pelajaran bahasa yang diajar itu merentasi atau merangkumi isi kandungan mata pelajaran  lain seperti sains, muzik, pendidikan seni, dan  pendidikan jasmani.

2.7       Penerapan nilai

Nilai murni hendaklah diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.  Penerapan nilai murni adalah bersesuaian dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara.  Terdapat 16 nilai murni  yang boleh diterapkan dalam pengajaran guru. Nilai-nilai tersebut adalah baik hati, hormat-menghormati,  kasih sayang, berdikari, keadilan, berhemah tinggi,  kebebasan, kejujuran, keberanian, kebersihan, kerajinan, rasional, kerjasama, kesyukuran, kesederhanaan, dan semangat bermasyarakat.  Guru boleh memilih mana-mana nilai murni yang hendak diterapkan sesuai dengan aktiviti pengajaran dan pembelajarannya. Sebagai contoh, apabila guru mengadakan aktiviti berkumpulan dan selepas itu meminta pelajar ke depan membentangkan hasil kerja mereka, maka guru telah menerapkan nilai kerjasama dan juga nilai keberanian (apabila pelajar ke depan kelas untuk bercakap).

       2.8.    Unsur terapi

Unsur terapi adalah elemen yang membezakan antara RPH Pendidikan Khas dengan RPH  kelas normal.  Unsur terapi yang boleh dimasukkan dalam RPH adalah terapi pertuturan, terapi muzik, terapi cara kerja, terapi fizikal, atau terapi lain yang bersesuaian.  Unsur terapi bermaksud apabila guru menjalankan aktiviti pengajarannya, terdapat unsur-unsur yang boleh membantu pelajar mengatasi kelemahan mereka.  Misalnya, apabila guru meminta pelajar menguli doh  untuk membentuk huruf-huruf atau objek tertentu, maka secara tidak langsung guru telah memasukkan unsur terapi cara kerja (motor halus) dalam pengajarannya.


2.9.     Bahan bantu mengajar/belajar

Bahan bantu mengajar atau bahan bantu belajar merujuk kepada media atau bahan yang guru gunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.  Antara bahan bantu mengajar yang guru gunakan adalah seperti kad perkataan,  kad huruf, kad imbasan, gambar tunggal atau gambar bersiri,  perakam video, model , dan sebagainya. Bahan bantu mengajar juga boleh berbentuk bahan sumber  yang guru gunakan dalam pengajarannya atau sebagai rujukan seperti buku rujukan, jurnal, risalah, buletin, dan sebagainya.


Komponen persediaan ini perlu dinyatakan dengan jelas dan perinci bagi mengelakkan kekeliruan.  Persediaan mengajar yang baik akan dapat digunakan oleh guru lain  untuk mengajar tanpa sebarang masalah sekiranya guru berkenaan tidak dapat mengajar disebabkan sesuatu hal  yang timbul.


3.  Komponen Penyampaian

Komponen penyampaian adalah bahagian yang memerlukan guru berfikir dengan teliti untuk merancang aktiviti pengajaran yang hendak dijalankan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.  Pada peringkat ini guru hendaklah bijak memilih strategi pengajaran yang sesuai dengan isi pelajaran,  penggunaan media pengajaran yang sesuai dan menarik, serta aktiviti pengajaran yang berkesan.  Komponen penyampaian terdiri daripada induksi set,  perkembangan, dan penutup. 


3.1 Induksi set

Induksi set adalah permulaan pengajaran yang penting.  Induksi set adalah untuk memfokus  atau mengorientasi perhatian pelajar terhadap pelajaran yang hendak dimulakan.  Bermula dari sini aliran pemikiran pelajar yang menjurus kepada pelajaran  dapat dibina dengan cara  menimbulkan minat serta perasaan  ingin tahu mereka.  Induksi set hendaklah dijalankan dengan menarik dalam lingkungan 3 hinga 5 minit sahaja. 

Kamarudin Hj.Husin (1989) memberikan lima cara untuk membina aliran pemikiran pelajar.

  1. Menarik perhatian: Pastikan pelajar sudah cukup bersedia sebelum memulakan pelajaran.  Guru boleh menarik perhatian pelajar melalui pertembungan mata, gerak isyarat, suara guru,  atau menggunakan media pandang dengar. 

  1. Orientasi:  Guru boleh memilih sesuatu peristiwa, objek, proses, atau alat
 yang boleh menimbulkan minat pelajar, dan kemudian mengaitkannya dengan objektif pengajaran.

  1. Mewujudkan motivasi: motivasi boleh diwujudkan melalui kemesraan dan semangat yang guru tunjukkan.  Selain itu guru perlu merangsang naluri ingin tahu pelajar  melalui unsur-unsur luar biasa atau sesuatu yang mencabar minda mereka.

4.   Struktur:  Induksi set boleh juga dilaksanakan secara memberi tugasan
ringkas kepada pelajar dan meminta mereka menyiapkan tugasan itu  dalam jangka masa yang singkat.  Soalan guru dapat membantu pelajar melaksanakan tugasan mereka dengan cepat.

  1. Membuat perkaitan:  Perkaitan boleh dilakukan dengan cara membuat
      perbandingan atau menyenaraikan persamaan atau perbezaan aspek 
      yang hendak dipelajari dengan perkara yang telah dipelajari atau
      diketahui oleh pelajar.

Guru boleh menjalankan induksi set dengan berbagai-bagai cara untuk menarik perhatian dan membina aliran fikiran pelajar.


3.2 Perkembangan pelajaran

Peringkat perkembangan pelajaran adalah peringkat guru menyampaikan isi pelajaran . Peringkat ini guru akan menggunakan segala teori dan prinsip pedagogi yang dipelajarinya.  Guru akan menggunakan kemahiran seperti teknik menyoal, peneguhan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menerang, memeringkat isi pelajaran, serta  memilih kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai.  Berkaitan dengan perkembangan pengajaran terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru.

  1. Konsep dan isi

Guru hendaklah pasti dengan isi pelajaran yang hendak diajarnya dan juga pasti segala fakta dan maklumat  adalah benar. Guru mesti menunjukkan yang ia sudah cukup bersedia  dan berilmu bagi meyakinkan pelajarnya.

  1. Strategi pengajaran dan pembelajaran

Guru hendaklah bijak memilih strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan dalam pengajarannya.  Guru boleh memilih strategi pengajaran berpusatkan pelajar, berpusatkan guru, atau berpusatkan bahan.  Begitu juga guru boleh memilih kaedah dan teknik pengajaran tertentu dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara teknik yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah teknik-teknik cerita, main peranan, lakonan, simulasi, nyanyian, dan lain-lain lagi.


  1. Kemahiran  peneguhan

Kemahiran peneguhan adalah penting dalam proses pengajaran kerana peneguhan yang diberi dengan betul, sesuai, dan segera akan dapat meningkatkan tingkah laku baik yang hendak ditingkatkan atau dikekalkan  di kalangan pelajar.  Peneguhan boleh dalam bentuk material seperti makanan, buku, pen, dan pensel  atau dalam bentuk sosial seperti senyuman, pujian, kontak mata, dan sebagainya.


  1. Kemahiran menyoal

Kemahiran menyoal adalah kemahiran yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.  Soalan-soalan guru akan membantu pelajar membentuk konsep, gambaran fikiran, dan lebih berkeyakinan untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Guru hendaklah menguasai kemahiran teknik menyoal  supaya soalan yang dikemukakan dapat mencungkil pemikiran pelajar.  Antara panduan  menyoal yang berkesan  adalah seperti berikut:

i.              sebarkan  soalan kepada semua pelajar;

ii.            beri masa pelajar berfikir sebelum menjawab soalan;

iii.           gunakan lingkaran soalan untuk mencungkil pemikiran pelajar.  Lingkaran soalan bermaksud soalan-soalan yang dibina berdasarkan soalan awal atau jawapan kepada soalan awal tadi;

iv.           soalan guru hendaklah mudah difahami;

v.            berikan soalan yang mencabar minda pelajar;

vi.           berikan peneguhan yang bersesuaian terhadap jawapan pelajar.


3.3 Penggunaan bahan bantu mengajar

Penggunaan bahan bantu mengajar boleh menarik minat pelajar terhadap pengajaran guru di samping membantu mereka memahami isi pelajaran.  Bahan bantu mengajar hendaklah digunakan secara maksimum ketika guru menyampaikan isi pelajaran.  Sebaik-baik bahan bantu mengajar adalah yang dibuat oleh guru sendiri kerana guru tahu apa yang diperlukan oleh pelajarnya. 

3.4      Penutup

Guru boleh menutup pengajarannya dengan membuat kesimpulan terhadap pelajaran yang diajar.  Pengajaran guru tidak seharusnya berhenti secara tiba-tiba terutamanya ketika pelajar hendak keluar semasa waktu rehat. Guru hendaklah merancang pengajarannya supaya dapat ditutup dengan baik dan berkesan.  Minda pelajar hendaklah difokuskan kepada perkara yang telah dipelajari terutamanya melalui kesimpulan, penilaian, atau aktiviti susulan (tugasan).

  3.4.1  Kesimpulan

Kebiasaannya guru akan menutup pengajarannya dengan membuat kesimpulan atau rumusan pelajaran.  Melalui kesimpulan pelajar dapat membentuk konsep serta dapat melihat perkaitan antara fakta yang dipelajari.  Selain itu pelajar akan berasa yang mereka telah mempelajari sesuatu dan  faham apa yang dipelajari.  Kesimpulan juga adalah sebagai peneguh kepada   pelajaran bagi memudahkan  pelajar mengingati apa yang telah dipelajari.  Guru boleh membantu pelajar membuat kesimpulan sendiri melalui soalan-soalan yang dikemukakan. 

         3.4.2  Penilaian

Penilaian pada bahagian penutup bukanlah seperti penilaian  yang dibuat semasa  pengajaran.  Penilaian di sini adalah ringkas yang pada kebiasaannya dibuat secara lisan untuk mengetahui sama ada pelajar memahami apa yang telah mereka pelajari.  Selain itu, penilaian juga secara tidak langsung membantu pelajar membuat kesimpulan.

3.4.3  Aktiviti susulan/tugasan

Aktiviti susulan biasanya diberi oleh guru pada akhir bahagian penutup. Aktiviti susulan merupakan kerja tambahan yang guru berikan kepada pelajar dalam bentuk kerja rumah.  Tujuannya adalah untuk mengukuhkan aspek-aspek pembelajaran yang telah disampaikan.  Tugasan hendaklah berkaitan dengan isi pelajaran yang telah disampaikan supaya sesuai dengan fungsinya sebagai satu bentuk aktiviti pengayaan. Namun begitu, guru perlu memberi perhatian supaya aktiviti susulan yang diberi itu tidak membebankan pelajar.  Bayangkan sekiranya guru yang mengajar setiap pelajaran yang diikuti pada hari itu memberikan tugasan dan perlu disiapkan dalam masa yang singkat, maka sudah pasti pelajar akan tertekan dan bosan.  Hal ini akan menghilangkan minat pelajar terhadap pelajaran.


4.   Kesimpulan

Kesimpulannya dapat dikatakan seseorang guru yang berkesan adalah guru yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelajarnya dan juga bersedia untuk mengajar dengan penuh yakin.  Kedua-dua perkara ini hanya dapat dimiliki oleh guru sekiranya dia merancang terlebih dahulu setiap pengajarannya.  Setiap aspek dalam Rancangan Pengajaran Harian hendaklah dirancang dengan teliti dengan mengambil kira  keupayaan pelajarnya.  Sebagai contoh, set induksi hendaklah berjaya menarik minat pelajar untuk mengikuti pelajaran  seterusnya.  Manakala setiap langkah penyampaian pelajaran pula merupakan gabungan kemahiran menyampaikan isi pelajaran, penggunaan bahan bantu mengajar, memberi pengukuhan, menyoal, penilaian, dan juga penutup.


5.    Rumusan

1.  Persediaan mengajar adalah satu perancangan mengajar yang disediakan
     oleh guru  untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran dalam tempoh  jangka
     waktu  tertentu pengajaran.

2.  Persediaan mengajar  mengandungi tiga komponen penting  iaitu persediaan,
     penyampaian, dan penutup.

3.  Pengajaran mikro adalah suatu pendekatan pengajaran praktik yang
     mengambil masa dalam lingkungan lima hingga lima belas minit untuk
     mengajar sesuatu kemahiran pengajaran untuk sekumpulan kecil pelajar. 

1 ulasan: